
Akademi Hijau












Akademi Hijau














KUALA LUMPUR: Potensi kerjasama antara Tesla dengan Malaysia tidak hanya terhad kepada sektor automotif dan kenderaan elektrik (EV) semata-mata, malah akan turut meliputi sektor lain, kata Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Beliau berkata, pertemuan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Tesla, Elon Musk, menambah pada minggu ini.
“Saya rasa kena tunggu dulu (butiran perbincangan) kerana saya tidak mahu mendahului perbincangan yang akan diadakan di antara Perdana Menteri dan Elon Musk, namun ini adalah satu perkembangan yang positif kerana kita tahu Tesla sudah memberi komitmen dan akan diadakan pada 20 Julai ini.
“Yang kita mahu supaya potensi pelaburan dan komitmen pelaburan yang lebih tinggi dalam sektor automotif dan juga sektor-sektor lain yang boleh kita pasarkan dalam Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pra-pelancaran Pameran Mobiliti Elektrik Antarabangsa (IEMS) 2023 di sini, hari ini.
Yang turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Shamsul Bahar Mohd Nor dan Pengerusi Qube Integrated Malaysia Sdn Bhd, Richard Teo.
Jumaat lalu, Anwar menyatakan akan bertemu dengan Musk minggu ini bagi meninjau cara syarikat kenderaan elektrik itu menambah pelaburan di Malaysia.
“Elon Musk meminta berunding dengan saya, untuk melihat kemungkinan komitmen beliau untuk menambah pelaburan di Malaysia, semua ini bermula dengan tata kelola dan pengurusan ekonomi yang baik,” katanya.
Tesla akan dilancarkan secara rasmi di Malaysia pada 20 Julai ini, kira-kira empat bulan selepas mengumumkan untuk membuka sebuah ibu pejabat di negara ini.
Syarikat itu pada awal Mac lalu mengumumkan rancangan membuka sebuah ibu pejabat di Malaysia, memperkenalkan Pusat Pengalaman dan Pusat Servis Tesla serta mewujudkan rangkaian pengecas Supercharger di Malaysia.
Ini selepas MITI telah meluluskan permohonan Tesla untuk mengimport Kenderaan Bateri Elektrik (BEV) ke Malaysia.
Sementara itu, Shamsul Bahar berkata, beliau berharap bahawa Tesla akan mengambil bahagian dalam IEMS 2023 akan datang, bermula pada 4 hingga 6 Oktober ini.
Katanya, pihaknya menyasarkan untuk IEMS 2023 memperoleh RM4 bilion dalam prospek pelaburan utama teknologi hijau dan kemampanan, berbanding RM3 bilion yang diperoleh pada edisi tahun lalu.
Kira-kira 400 peserta pameran dari 40 negara seperti China, Jepun, Taiwan, Sweden, Austria dan Belanda, dijangka mengambil bahagian dalam IEMS 2023 dan dijangka menarik sehingga 40,000 pengunjung.
Sumber: Berita Harian