Kisah Kami

mgtc-logo-line (1)
Agrobank salur RM30 juta bantu PMKS agromakanan
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua dari kiri) menyempurnakan simbolik penyerahan dana PMRNA 2025 kepada Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Ahmad Ariff Abu Bakar (dua dari kanan) disaksikan oleh Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak (kanan) dan Setiausaha Bahagian Pemodenan Pertanian Kementerian Pertanian, Aina Azza Zaid (kiri).
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua dari kiri) menyempurnakan simbolik penyerahan dana PMRNA 2025 kepada Ketua Pegawai Pembangunan Agrobank, Ahmad Ariff Abu Bakar (dua dari kanan) disaksikan oleh Ketua Setiausaha KPKM, Datuk Seri Isham Ishak (kanan) dan Setiausaha Bahagian Pemodenan Pertanian Kementerian Pertanian, Aina Azza Zaid (kiri).

SHAH ALAM – Agrobank menyalurkan RM30 juta menerusi Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA) 2025 bagi memperkasakan syarikat mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor agromakanan melalui penggunaan agroteknologi.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program strategik pembiayaan di bawah Inisiatif Belanjawan 2025 itu bertujuan menyokong agenda keterjaminan makanan negara.

“Usaha itu dilaksanakan dengan meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil pertanian menerusi penggunaan teknologi moden seperti Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), teknologi hijau, mekanisasi, automasi serta analisis data raya.

“Melalui program ini, kami bukan sahaja menyediakan pembiayaan yang kompetitif, malah turut menyokong pembangunan kapasiti teknologi dalam kalangan usahawan komuniti tani,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurutnya, pembiayaan sehingga RM1 juta disediakan menerusi Pembiayaan Berjangka-i (Term Financing) dan Pembiayaan Modal Kerja-i dengan margin sehingga 100 peratus bagi menampung kos agroteknologi, sokongan infrastruktur dan modal kerja.

“Selain itu, pembiayaan ini ditawarkan dengan kadar keuntungan serendah tiga peratus setahun melalui konsep patuh syariah 'tawarruq'.

“Keutamaan diberikan kepada syarikat Bumiputera, dengan syarat pemilik 51 peratus rakyat Malaysia dan perniagaan berdaftar yang mematuhi panduan syariah serta bebas daripada sebarang tindakan undang-undang,” katanya.

Tambahannya, selain pembiayaan aset, PMRNA 2025 yang merupakan pembiayaan khusus yang ditawarkan oleh kerajaan ini turut membiayai latihan peningkatan kapasiti teknologi serta perolehan pensijilan seperti MyGAP atau MyHijau.

“Ia juga menyediakan pembiayaan bagi permit atau lesen berkaitan untuk meningkatkan standard operasi syarikat agromakanan.

“Agrobank yang berorientasikan pelanggan dengan fokus utamanya untuk mengukuhkan sektor pertanian, terus komited dalam menyokong transformasi sektor agromakanan Malaysia melalui inovasi dan pembangunan mampan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Suka artikel ini?
Kongsi di Facebook
Kongsi di Twitter
Kongsi di Linkdin
Kongsi di Pinterest