
Akademi Hijau












Akademi Hijau













KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES) terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan mampan dan ekonomi hijau melalui pelbagai strategi inisiatif yang dilaksanakan bersama agensi berkaitan, termasuk Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).
Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kementerian melalui MGTC telah menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi seperti International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM), selain melaksanakan skim pembiayaan dan insentif hijau.

“Sejajar dengan sasaran yang telah digariskan dalam pelan permulaan NRES 2024-2030, Kementerian telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penganjuran IGEM, pelaksanaan Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) dan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) serta pengukuhan pelaksanaan Government Green Procurement (GGP).
“Bagi tahun 2024, nilai penjanaan pelaburan hijau adalah sebanyak RM7.883 bilion, termasuk sumbangan daripada inisiatif Green Investment Tax Allowance (GITA), Green Technology Financing Scheme (GTFS) 4.0 serta IGEM.
“Sumbangan ini termasuk komitmen pelaburan yang diraih menerusi siri IGEM sejak 2020 yang telah berjaya menjana lebih RM10 bilion potensi pelaburan hijau setakat ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab persoalan Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan pencapaian sasaran nilai penjanaan Pelaburan Hijau dan bilangan peluang Pekerjaan Hijau bagi tahun 2024 seperti yang dinyatakan dalam Dokumen Pelan Strategik NRES 2024-2030 dan cabaran utama yang dihadapi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.
Mengulas lanjut kata Naib Presiden UMNO, pelaksanaan inisiatif ini telah memberi kesan positif terhadap peluang pekerjaan sepanjang tahun 2024.
“Dari segi peluang pekerjaan, inisiatif ini telah menyumbang kepada penciptaan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan hijau pada tahun 2024,” katanya. – UMNO Online
Sumber: UMNO Online