
Akademi Hijau












Akademi Hijau














KUALA LUMPUR — Caj kesesakan dijangka mengurangkan kesesakan lalu lintas di Kuala Lumpur sekitar 20 peratus, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata bagi memastikan kejayaan inisiatif itu yang masih dalam kajian, caj kesesakan perlu ditetapkan pada kadar yang tidak menggalakkan pengguna jalan raya tertentu.
“Bagaimanapun, kerajaan tidak mahu caj dikenakan terlalu tinggi kerana ia tidak sepatutnya membebankan pengguna jalan raya,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Azman Nasrudin (PN-Padang Serai) pada Waktu Soal di Dewan Rakyat hari ini.
Azman ingin mengetahui mekanisme pelaksanaan caj kesesakan dan anggaran pengurangan kesesakan lalu lintas yang dijangka kerajaan.
Dr Zaliha berkata kajian 2020 oleh Prasarana Malaysia Berhad mendedahkan negara mengalami kerugian berjumlah RM20 bilion akibat kesesakan lalu lintas.
Beliau berkata kajian mengenai pelaksanaan caj kesesakan itu sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC).
“"Kajian ini merangkumi pelbagai aspek, termasuk mekanisme pelaksanaan, unjuran pengurangan jumlah trafik, dan jangkaan peningkatan dalam penggunaan pengangkutan awam jika caj itu diperkenalkan," katanya.
Dr Zaliha menambah, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) akan memastikan usaha meningkatkan rangkaian pengangkutan awam Kuala Lumpur dijalankan seiring dengan kajian caj kesesakan. — BERNAMA
Sumber: Rizab Malaysia