
Akademi Hijau
Cabaran 2030 Bandar Rendah Karbon












Akademi Hijau
Cabaran 2030 Bandar Rendah Karbon














BANGI: Pelan komprehensif, termasuk prosedur operasi standard (SOP) perlombongan unsur nadir bumi bukan radioaktif (NR-REE), akan dikeluarkan tidak lama lagi, kata Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar Nik Nazmi Nik Ahmad.
Beliau berkata SOP itu sudah siap dan kementerian sedang menyediakan pelan yang merangkumi pembangunan NR-REE daripada peringkat perlombongan hingga ke peringkat hiliran.
“Perbincangan itu diadakan dengan Kementerian Ekonomi; Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri; Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.
“Sebagai susulan, kertas kerja Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar akan dibawa ke Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) dalam masa terdekat,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Karnival Pekerjaan Hijau hari ini.
Nik Nazmi menambah semalam beliau melawat tapak projek perintis untuk NR-REE di daerah Kenering, Hulu Perak, Perak.
“Saya memerhatikan apa yang mereka lakukan di sana dan antara perkara yang saya tekankan ialah kami percaya NR-REE akan memainkan peranan penting terutama dari segi peralihan tenaga dan juga memastikan perlombongan dilakukan secara bertanggungjawab untuk melindungi alam sekitar.
“Jadi, kami akan memantau dengan teliti projek ini,” katanya.
Ketika ditanya sama ada SOP akan dibentangkan di Parlimen, Nik Nazmi berkata; “Ia tidak melibatkan pembentangan di Parlimen, tetapi saya akan terus menjawab isu itu apabila ada soalan (ahli Parlimen).
“Projek ini telah dimulakan oleh kerajaan sebelum ini, jadi saya percaya semua sedia maklum dan ada minat dari pelbagai negeri tetapi apa yang kita tekankan ialah pematuhan.
“Terdapat beberapa kes kecurian atau perlombongan NR-REE haram berlaku di beberapa negeri, tetapi tindakan telah diambil oleh pihak berkuasa.
“Kami juga menerima beberapa laporan baharu, tetapi kami akan membuat susulan dan berbincang dengan pihak berkuasa,” katanya.
Mengenai karnival oleh kementerian anjuran Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Nik Nazmi berkata terdapat 30 program latihan ditawarkan berkaitan pengurusan tenaga dan amalan industri hijau.
Program ini bertujuan untuk melahirkan tenaga kerja mahir bagi sektor teknologi hijau.
Beliau berkata karnival anjuran MGTC secara berkala itu turut melibatkan 50 rakan korporat dan agensi kerajaan termasuk Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Karnival ini turut mempromosikan portal green job menerusi greenjobsmalaysia.my yang boleh diakses secara percuma. Pada masa ini, 962 syarikat menyenaraikan sebanyak 10,915 pekerjaan menerusi portal ini.
“Usaha ini merupakan salah satu komitmen kementerian untuk menyokong inisiatif pembangunan kemahiran bagi sektor teknologi hijau selaras dengan sasaran negara di bawah Pelan Induk Teknologi Hijau 2017-2030 (GTMP) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR),” katanya.
Sumber: NST