Kisah Kami

mgtc-logo-line (1)
Kerjasama Gentari, PRO-NET tingkat pengunaan kereta elektrik
(Dari kiri) Shah, Tengku Muhammad Taufik, Iskandar, Zaini, Zhang dan Roslan pada majlis memeterai kerjasama antara Gentari dan PRO-NET di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Pembekal penyelesaian tenaga bersih, Gentari Sdn Bhd (Gentari) yang juga entiti milik penuh PETRONAS menjalin kerjasama dengan Proton New Energy Technology Sdn Bhd (PRO-NET) bagi memacu pertumbuhan kenderaan elektrik (EV) di Malaysia.

Ketua Peralihan Penyelesaian Tenaga Bersih PETRONAS, Shah Yang Razalli, berkata melalui kerjasama itu, kedua-dua pihak akan memanfaatkan keupayaan dan memperkasakan infrastruktur EV di Malaysia, sesuai dengan matlamat penyahkarbonan negara.

Beliau berkata, Gentari turut mempergiatkan usaha perniagaannya menerusi jalinan kerjasama dengan pelbagai penggiat industri.

“Gentari berhasrat untuk memenuhi keperluan tenaga lestari dengan mengubah cara hidup hari ini untuk menjamin masa depan.

“Usaha sama dengan PRO-NET akan memberi manfaat jangka panjang dalam menyokong peralihan kepada pengangkutan mampan di Malaysia dengan mewujudkan perkembangan sepadu ke arah menjadikan penggunaan EV lebih berpatutan dan mudah diakses,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman dengan PRO-NET di sini, hari ini.

Majlis disaksikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang bersama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PETRONAS, Datuk Tengku Muhammad Taufik; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Roslan Abdullah dan Perbadanan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC), Datuk Iskandar Abdul Samad.

Mengulas lanjut, Shah berkata, memorandum itu membolehkan Gentari menyediakan penyelesaian pengecasan yang lebih meluas dan lengkap melalui rangkaian pengedar PROTON di seluruh negara demi meningkatkan kemudahan kepada pengguna kereta nasional itu di Malaysia.

Beliau berkata, sehingga kini, Gentari telah memasang lebih 225 kemudahan pengecasan di Malaysia dan India, seterusnya memperkukuhkan lagi keyakinan terhadap penggunaan kenderaan elektrik.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang berkata, kerjasama itu membolehkan penyediaan tenaga bersih ini dan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur di Malaysia.

“Kerjasama antara Gentari dan PRO-NET menyokong aspirasi Dasar Tenaga Negara (DTN) untuk menjadikan Malaysia sebuah negara rendah karbon menjelang 2040.

“Ini menerusi peningkatan peratusan EV satu peratus pada 2018 kepada 38 peratus menjelang 2040,” katanya.

Gentari adalah sebuah entiti penyelesaian tenaga bersih yang dimiliki sepenuhnya oleh PETRONAS dan dipertanggungjawabkan untuk mencari dan menawarkan penyelesaian tenaga lestari bersepadu dan merebut peluang dalam peralihan tenaga.

Ia menawarkan penyelesaian berkarbon rendah melalui tiga teras utama iaitu tenaga boleh diperbaharui, hidrogen dan mobiliti hijau bagi membentuk satu portfolio penyelesaian merentas rantaian nilai elektron untuk membantu pelanggan mencapai pelepasan sifar bersih.

Bagi jangka masa panjang, Gentari berhasrat menjadi pembekal penyelesaian sifar bersih yang lengkap, mencipta nilai yang lebih tinggi, menghubungkan perniagaan dan membolehkan peralihan kepada sifar bersih.

Sumber : Berita Harian

Suka artikel ini?
Kongsi di Facebook
Kongsi di Twitter
Kongsi di Linkdin
Kongsi di Pinterest