
Akademi Hijau












Akademi Hijau














KOTA KINABALU, 29 Nov — Kerajaan Sabah, melalui anak syarikatnya Smart Sabah Corporation Sdn Bhd, sedang meneroka peluang untuk negeri itu menjadi pengeluar hidrogen dan tenaga boleh diperbaharui menjelang 2025, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin.
Bung Moktar yang juga pengerusi Smart Sabah Corporation berkata syarikat itu telah menandatangani perjanjian kerjasama dengan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) pada 9 November 2021, untuk menjalankan kajian kebolehlaksanaan projek itu.
“Sabah dikenal pasti antara kawasan yang boleh menghasilkan banyak gas hidrogen kerana kelembapan udara kita lebih baik berbanding negara luar seperti Eropah yang hanya mempunyai 28 peratus.
“Sabah dijangka mempunyai kelembapan udara kira-kira 60 hingga 70 peratus untuk menghasilkan hidrogen menjelang 2025,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.https://7f6adc8d104dd1a6844a1c648f8e2802.safeframe.googlesyndication.com/safeframe/1-0-38/html
Tambahnya, ini merupakan teknologi baharu yang boleh menjadi sumber pendapatan kepada Sabah dan membantu memelihara alam semula jadi negeri ini.
“Teknologi ini ada di negara kita, teknologinya dari Malaysia dan dilaksanakan oleh MGTC,” katanya.
Bung Moktar berkata antara projek utama yang terlibat ialah pembangunan projek solar berskala besar untuk pengeluaran hidrogen, pembangunan pengeluar tenaga hijau bebas 3,500 megawatt, dan pembangunan sistem penukaran tenaga haba lautan (OTEC).
Beliau berkata lebih banyak projek membabitkan usaha itu sedang dirancang dan projek itu dijangka membawa pulangan tidak kurang RM25 bilion kepada negeri ini dan mewujudkan kira-kira 20,000 pekerjaan dalam pelbagai sektor untuk rakyat Sabah.
Sehubungan itu, beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan pelabur dan pemain industri dari dalam atau luar negara untuk bersama-sama meneroka peluang itu.
“Setakat ini ada pembeli (hidrogen) tetapi kita tidak menjual semuanya kerana kita juga perlu menjana elektrik di negeri ini.
“Pelabur Jepun dan Korea telah menyatakan minat untuk bekerjasama dalam projek ini dan terdapat juga pelabur dari Eropah seperti Jerman dan Switzerland,” katanya.
Beliau berharap Sabah dan Sarawak dapat bersama-sama membangunkan pengeluaran hidrogen memandangkan kedua-dua negeri itu mempunyai kawasan yang sesuai untuk industri itu, seterusnya dapat memberi kemakmuran ekonomi kepada rakyat kedua-dua negeri itu. — Bernama
Sumber : Malay Mail