
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata pensijilan tersebut mengiktiraf inisiatif kumpulan melibatkan pembelian 30 unit Bas Bandar King Long (Euro 5) — terdiri daripada 15 unit model sepanjang 8.9 meter dan 15 unit model sepanjang 10.5 meter — sebagai Projek Hijau bernilai RM17.1 juta.
Menurut syarikat itu, projek berkenaan memenuhi semua kriteria kelayakan GTFS di bawah kategori Kenderaan Cekap Tenaga (Energy Efficient Vehicle) bagi sektor pengangkutan dan kategori pengguna.
“Pemerolehan pensijilan GTFS bagi Bas Bandar Hijau Euro 5 ini menegaskan komitmen Perak Transit terhadap penyelesaian pengangkutan mampan dan cekap tenaga.
“Pengiktirafan ini membuktikan hala tuju strategik kami untuk memodenkan armada secara bertanggungjawab, meningkatkan kecekapan operasi serta menyelaraskan pertumbuhan kami dengan matlamat pembangunan hijau negara,” kata Pengarah Eksekutifnya, Datuk Cheong Peak Sooi.

Perak Transit menjelaskan, pensijilan GTFS memberi akses kepada terma pembiayaan hijau istimewa, termasuk jaminan kerajaan dan sokongan kadar faedah, sekali gus meningkatkan kecekapan modal dan fleksibiliti kewangan.
Kumpulan itu menambah, pencapaian ini turut memperkukuh kelayakan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) , meletakkannya pada kedudukan lebih kukuh dalam kalangan pelabur institusi serta menyokong usaha penciptaan nilai jangka panjang.
GTFS merupakan inisiatif yang disokong kerajaan melalui MGTC bagi menggalakkan pelaburan hijau melalui insentif kewangan, jaminan kerajaan dan kadar pinjaman istimewa bagi projek yang diperakui.
Skim ini bertujuan mempercepatkan peralihan Malaysia ke arah ekonomi rendah karbon dan cekap sumber.
Sumber: Dagang News