
Akademi Hijau












Akademi Hijau














KUALA LUMPUR, 25 Mac — Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan caj kesesakan ke atas kenderaan persendirian di Kuala Lumpur buat masa ini, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook.
Beliau berkata mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Keselamatan Jalan Raya dan Kesesakan telah membincangkan perkara itu secara mendalam sebelum ini, dan mengambil maklum pandangan kementerian untuk menumpukan kepada peningkatan kualiti pengangkutan awam terlebih dahulu.
“Justeru, Kementerian Pengangkutan (MOT) tidak dan masih belum bercadang untuk melaksanakan caj kesesakan ke atas kenderaan persendirian pada masa ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Negara hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Senator Tan Sri Datuk Low Kian Chuan yang ingin tahu sama ada kementerian akan mempertimbangkan untuk melaksanakan cukai caj kesesakan memandangkan isu sambungan Batu Pertama dan Batu Terakhir telah diselesaikan melalui perkhidmatan van transit atas permintaan.
Loke berkata kajian pelaksanaan meliputi mekanisme pelaksanaan, unjuran pengurangan jumlah trafik, dan peningkatan penggunaan pengangkutan awam sedang dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia dan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia.
Loke berkata kementerian juga kini sedang melaksanakan Kajian Pelan Strategik Pengangkutan Awam Lembah Klang yang turut merangkumi kajian Origin-Destination dan diharap dapat dijadikan penanda aras bagi meningkatkan kualiti pengangkutan awam termasuk di negeri lain.
“Ini kerana negara maju hanya melaksanakan caj kesesakan selepas mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik dan cekap,” katanya. — Bernama
Sumber: Malay Mail