
Akademi Hijau












Akademi Hijau














LABUAN (3 Okt): Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Shahidan Kassim pada Ahad menanam pokok Bakau Minyak (Rhizophora apiculata) di Pantai Nagalang di sini untuk memulakan Kempen Tanam Sejuta Pokok Wilayah Persekutuan 2021-2025.
Beliau berkata di bawah program yang membawa tema 'Menghijaukan Malaysia: Pokok Kita, Kehidupan Kita' dan berkonsepkan hutan bandar dan bandar berbunga itu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menyasarkan untuk menanam 500,000 pokok, Perbadanan Putrajaya 400,000 pokok dan Perbadanan Labuan 100,000 pokok.
Shahidan berkata Pusat Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) di bawah Kementerian Alam Sekitar dan Air telah meluluskan peruntukan RM250,000 di bawah Geran Pemangkin Bandar Karbon Rendah (GeRAK) untuk menambah kawasan hutan bakau di Labuan.
Beliau berkata pada peringkat awal pelaksanaannya di Labuan, inisiatif itu akan memberi tumpuan kepada penanaman 9,250 pokok bakau di enam lokasi — pantai Kg Tanjung Aru Nelayan; Pantai Kg Tanjung Aru/Kerupang; Pusat Eko-Pelancongan Bakau Kinabenuwa; sungai Kg Gersik; muara sungai di Kg Ganggarak dan Kg Tg Aru serta Taman Botani Labuan.
“Hari ini sebanyak 100 pokok bakau akan ditanam di pantai Nagalang/Kerupang dan akan direkodkan dalam aplikasi Penghijauan Malaysia…antara spesiesnya ialah Bakau Kurap, Bakau Minyak, Bakau Putih dan Api-Api Hitam,” katanya ketika melancarkan kempen di pantai Nagalang pada Ahad.
Shahidan berkata tujuan penanaman pokok bakau di sepanjang tebing sungai, muara sungai dan di sepanjang pantai adalah untuk mengurangkan risiko hakisan pantai.
“Sebanyak 5,000 pokok bakau akan ditanam di sepanjang pantai Kg Tanjung Aru/ Nagalang/ Kerupang tahun ini,” katanya.
Shahidan berkata, hutan bakau juga menyediakan habitat dan makanan kepada hidupan marin seperti ikan, udang dan ketam di sungai dan berhampiran persisiran pantai dan ini secara tidak langsung dapat membantu nelayan di pulau itu meningkatkan hasil tangkapan mereka.
Sumber : The Edge Markets