
Akademi Hijau












Akademi Hijau














PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) berusaha menerajui mobiliti rendah karbon terutamanya menerusi kenderaan elektrik bateri (BEV), melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan dalam negara.
Pegawai Strategi dan Kawal Selia TNB, Datuk Fazlur Rahman berkata, amat penting bagi sektor tenaga melaksanakan usahanya secara beransur-ansur.
Kata beliau, sektor lain seperti pengangkutan juga harus melakukan usaha karbon yang sama untuk memastikan pendekatan holistik diambil ke arah inisiatif penyahkarbonan negara.
“Sementara TNB meneruskan usaha untuk menyahkarbonkan operasi kami sendiri, kami turut bersedia untuk memimpin perubahan dalam sektor pengangkutan bukan sahaja sebagai penyedia infrastruktur, tetapi untuk menggalakkan pendekatan kolaboratif dengan gabungan pihak berkepentingan bagi merealisasikan langkah penting ke arah penyahkarbonan.
“Selaras dengan agenda rendah karbon kerajaan, kami berminat untuk bekerjasama dengan mana-mana pihak swasta yang ingin beralih kepada mobiliti elektrik,” katanya dalam sesi Rangkaian Tindakan Ketua Pegawai Eksekutif (CAN) Jadual Bulat Sektor Tenaga #2 yang membawa tema mobiliti karbon rendah.
Turut hadir dalam sesi yang diadakan secara maya itu ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan, Normah Osman.
Tahun lalu, TNB bersama Pusat Perubahan Iklim dan Teknologi Hijau Malaysia (MGTC) telah memasang tempat mengecas 73 kenderaan elektrik (EV) di 31 lokasi.
Memorandum Persefahaman TNB bersama DHL Express Malaysia baru-baru ini turut memerlukan syarikat utiliti itu memasang stesen pengecasan EV di sepanjang laluan perkhidmatan utama DHL dan membantu syarikat logistik itu memajukan armada elektriknya pada masa depan.
Kolaborasi itu menandakan pelbagai kaedah sinergi antara syarikat boleh membantu peralihan kepada kenderaan elektrik bagi mengurangkan pelepasan gas rumah hijau (GHG).
Fazlur menjelaskan, berdasarkan angka yang diperoleh daripada Laporan Dwi Tahunan Malaysia kepada Konvensyen Rangka Kerja Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNFCCC), pengeluaran elektrik dan haba kekal sebagai penyumbang terbesar pelepasan karbon dioksida pada 103,047 gigagram, mewakili sekitar 39 peratus pelepasan karbon dioksida di Malaysia.
Ujarnya, itu diikuti dengan pengangkutan jalan raya yang menyumbang sekitar 55.188 gigagram, memberikan kira-kira 21 peratus daripada jumlah pelepasan karbon dioksida Malaysia pada 2016.
“Kami juga percaya pengelektrikan mobiliti akan menyebabkan perubahan besar dalam ekonomi negara kerana teknologi baharu akan menggalakkan aktiviti ekonomi bernilai tinggi dalam ekosistem kita.
“Pada masa yang sama, peralihan kepada kenderaan juga akan membawa manfaat ekonomi dan kesihatan termasuk pengurangan pencemaran udara serta pengurangan kos kesihatan yang timbul daripadanya,” kata Fazrul.
Tambahnya, TNB bersedia untuk menyediakan infrastruktur EV yang diperlukan di seluruh negara. Untuk tujuan itu, pihaknya telah menubuhkan Pejabat Pengurusan Projek untuk melaksanakan agenda EV dan berharap dapat terus melangkah ke hadapan bersama rakan kongsinya ke arah itu. – UTUSAN ONLINE
Sumber : Utusan Malaysia