
Akademi Hijau
Cabaran 2030 Bandar Rendah Karbon












Akademi Hijau
Cabaran 2030 Bandar Rendah Karbon














Kuala Lumpur: Sudah sampai masanya industri dan perniagaan kini bersiap sedia dengan peralihan sosio ekonomi pasca pandemik covid-19.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ia perlu dilakukan selepas kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi dan melaksanakan pelbagai polisi serta pelan pemulihan bagi mengurangkan kesan pandemik covid-19.
Beliau berkata, kerajaan yakin ekonomi negara boleh dibina semula secara berperingkat sekali gus membina masa depan yang lebih baik bersama.
“Perubahan pantas dan tidak pernah berlaku sebelum ini akibat pandemik memaksa kita untuk terus mengubah kelestarian yang telah mempengaruhi banyak bahagian kehidupan kita.
“Ketika kita mengharungi pandemik ini, saya ingin menegaskan bahawa kita seharusnya tidak melupakan cabaran yang ditimbulkan oleh perubahan iklim.
“Perubahan iklim boleh memberi kesan dan ancaman jangka panjang terhadap kesejahteraan sosial, pembangunan ekonomi dan kesihatan global,” katanya pada majlis pelancaran IGEM 2021 secara maya tadi.
Turut hadir Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.
IGEM yang disyorkan secara maya di www.igem.my antara 1 Julai hingga 31 Disember ini akan menampilkan hampir 300 pelawat dari 50 negara dan dijangka menarik kunjungan 30,000 pelawat.
Ia dijangka mampu menjana lebih RM5 bilion potensi pelaburan biarpun diadakan secara maya tahun ini.
Acara enam bulan ini akan mengetengahkan tema daripada pelbagai aspek industri bermula dengan tema Teknologi Hijau (Julai), Air (Ogos),Perubahan Iklim dan Alam Sekitar (September), Kemampanan (Oktober), Pembiayaan Hijau (November) dan Tenaga dan e-Mobiliti (Disember).
Setiap tema bulanan ini akan dilengkapi dengan acara persidangan dan aktiviti serta maklumat terkini berkaitan sektor terbabit, hasil daripada perkongsian pakar industri.
Dalam pada itu Muhyiddin berkata, kerajaan mahu meneroka potensi peranan hidrogen dalam campuran tenaga negara dan sumbangannya kepada pembangunan semula ekonomi negara.
Beliau berkata pandemi ini memberi dorongan baharu untuk kita semua memainkan peranan dalam agenda kelestarian.
Beliau turut melahirkan rasa gembira apabila Persidangan dan Pameran Antarabangsa Greentech dan Produk Eko Malaysia (IGEM ) akan menganjurkan 'The Strategic Lab-Visioning a Hydrogen Economy for Malaysia'.
“Penganjuran ini adalah untuk meneroka potensi peranan hidrogen dalam campuran tenaga negara dan bagaimana ia dapat menyumbang untuk membina semula ekonomi kita. Sesi ini akan diketuai oleh barisan panel terdiri daripada pakar dalam dan luar negara.
“Saya mengalu-alukan usaha syarikat Malaysia untuk menjalin kerjasama mengenai teknologi dan perkongsian pengetahuan dalam ekosistem hidrogen, pengkomersialan dan teknologi hijau.”
“Adalah amat wajar dipuji syarikat-syarikat ini komited untuk melabur secara aktif dalam projek hidrogen hijau dan penyampaian tenaga boleh diperbaharui, ekonomi kitaran dan mobiliti karbon yang rendah,” katanya.
Mengulas lanjut Muhyiddin berkata, kerajaan akan terus menerapkan pendekatan menyeluruh untuk memastikan dasarnya adalah jelas dan kondusif untuk pembangunan ekonomi yang mampan.
“Adalah penting untuk kita kekal tangkas dengan berlibaturus dengan semua pemain industri dan pihak berkepentingan untuk menyampaikan 'kesihatan planet' (kesihatan planet) dengan lebih baik dalam jangka panjang,‘ katanya.
Sumber : Harian Metro