Kisah Kami

mgtc-logo-line (1)
GeRAK perkukuh bandar aktiviti rendah karbon
Tuan Ibrahim berucap pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon 2020 di Hotel Marriot Putrajaya di sini, hari ini. – FOTO : FAISOL MUSTAFA

PUTRAJAYA – Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melancarkan Geran Pemangkin Bandar Rendah Karbon atau GeRAK bernilai RM35 juta bagi memperkasa inisiatif bandar rendah karbon berimpak tinggi.

Menterinya, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, ia dibuka kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara bagi menggerakkan program bandar rendah karbon.

Beliau berkata, ia boleh digunakan PBT bagi penyediaan polisi, kolaborasi dan pelaksanaan inisiatif-inisiatif rendah karbon di kawasan masing-masing.

“Saya menggesa semua PBT dapat memanfaatkan ini sebaik-baiknya,” katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Bandar Rendah Karbon di sini, hari ini.

Tuan Ibrahim berkata, antara program yang boleh dilaksanakan termasuk meningkatkan kecekapan tenaga menerusi tenaga boleh diperbaharui; kecekapan air dan penunaian air hujan serta mengurangkan jumlah sisa di tapak pelupusan sampah.

Beliau berkata, program lain yang boleh dilaksanakan oleh PBT ialah menambahkan pokok dan ruang hijau di kawasan bandar serta meningkatkan penggunaan pengangkutan awam.

Dalam pada itu, katanya, jumlah keseluruhan pengurangan karbon di seluruh negara yang direkodkan dari tahun 2011 hingga 2020 menerusi program bandar rendah karbon ialah 148,572.20 tan karbon setara (CO2).

“Jumlah penyerapan karbon yang dicapai melalui inisiatif ini ialah sebanyak 43,682.75 tan karbon dioksida (CO2).

“Usaha-usaha pengurangan karbon yang berlaku di seluruh negara ini adalah bersamaan dengan 4.8 juta batang pokok,” katanya.

Katanya, kementerian juga menyasarkan untuk mewujudkan 200 Zon Rendah Karbon dan 1,000 rakan kongsi rendah karbon menjelang 2030 di semua 154 PBT di seluruh negara.

Setakat ini, katanya, 64 daripada154 PBT sudah diberi pendedahan konsep dan praktikaliti bandar rendah karbon dan tidak langsung menyumbang kepada pengurusan gas rumah kaca secara signifikan. – K! DALAM TALIAN

Sumber : KOSMO

Suka artikel ini?
Kongsi di Facebook
Kongsi di Twitter
Kongsi di Linkdin
Kongsi di Pinterest