Kisah Kami

mgtc-logo-line (1)
GTFS lulus RM4.536 bilion
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Shamsul Bahar Mohd Nor. - Foto Rosela Ismail
KETUA Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Shamsul Bahar Mohd Nor. – Foto Rosela Ismail

KUALA LUMPUR: Sejumlah RM4.536 bilion diluluskan untuk tawaran pembiayaan menerusi institusi kewangan swasta (PFI) di bawah Skim Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) setakat ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Green Technology Corporation (GreenTech Malaysia), Shamsul Bahar Mohd Nor, berkata GTFS yang diperkenalkan sejak 2010 itu sudah ditawarkan kepada 344 projek membabitkan 341 syarikat tempatan.

Katanya, skim pembiayaan untuk menyokong pertumbuhan projek teknologi hijau dan disokong oleh 28 PFI serta Credit Guarantee Corporation (CGC) itu dilihat sebagai platform terbaik untuk membangunkan sektor teknologi hijau di Malaysia.

Katanya, bagi tempoh 2019-2020, sejumlah RM2 bilion diperuntukkan untuk membiayai lebih 60 projek dengan jumlah pembiayaan bergantung kepada permohonan daripada peserta industri.

“Sehingga November 2019, sejumlah 35 projek di tawarkan Persijilan Projek Hijau dari GreenTech Malaysia yang membabitkan kos projek yang berjumlah RM1.5867 bilion dengan kos teknologi hijau berjumlah RM1.1 bilion.

“Daripada jumlah itu, 25 projek berjaya mendapat tawaran pembiayaan daripada PFI yang memberikan nilai tawaran pembiayaan berjumlah lebih daripada RM900 juta. Seterusnya, projek berkenaan perlu mendapat kelulusan daripada CGC untuk pengeluaran jaminan bagi mendapat kelulusan penuh skim ini.

“Fokus GTFS adalah sektor tenaga dan biogas dan kami cuba mendapatkan penyertaan daripada syarikat berkaitan pengangkutan dan bangunan yang layak mendapat pembiayaan,” katanya ditemui BH, baru-baru ini.

Di bawah GTFS, had maksimum pembiayaan dipecahkan kepada tiga kategori iaitu RM100 juta bagi syarikat pengeluar, RM50 juta bagi syarikat pengguna dan RM25 juta untuk syarikat perkhidmatan tenaga (ESCO).

Shamsul Bahar menjelaskan, GTFS yang mendapat jaminan kerajaan sebanyak 60 peratus dan baki 40 peratus lagi daripada bank menjadi pemangkin utama dalam membangunkan sektor tenaga mesra alam sekali gus mampu menjadikan Malaysia antara pemain pasaran penting di peringkat antarabangsa.

Katanya, adalah wajar peruntukan untuk GTFS ditambah bagi membuka lebih banyak peluang perniagaan, selepas ia menjadi satu-satunya skim pembiayaan khusus untuk sektor teknologi hijau di Malaysia.

“GTFS diperkenalkan untuk membantu syarikat tempatan dengan objektif untuk memudahkan syarikat-syarikat untuk mendapatkan pembiayaan pelaburan, iaitu antaranya untuk pengeluaran produk hijau, penggunaan teknologi mesra alam dan aset berkaitan projek tenaga cekap.

“Ia adalah satu langkah yang sangat bertepatan oleh pihak kerajaan selaras dengan pengurangan karbon kepada 45 peratus pada tahun 2030 dengan kadar semasa sekitar 33 peratus.

“Walaupun 10 tahun lagi, ia memerlukan banyak perubahan serta kerjasama daripada semua pihak yang berkepentingan termasuklah Kementerian Pengangkutan, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Pertanian,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Suka artikel ini?
Kongsi di Facebook
Kongsi di Twitter
Kongsi di Linkdin
Kongsi di Pinterest