Pelaburan Hijau Lonjakkan Daya Saing Malaysia Di Peringkat Global – Johari Ghani

KUALA LUMPUR, 4 Nov – Kementerian Sumber Asli Dan Kelestarian Alam (NRES) terus memperkukuh komitmen terhadap pembangunan mampan dan ekonomi hijau melalui pelbagai inisiatif strategik yang dilaksanakan bersama agensi berkaitan, termasuk Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC).

Menterinya, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata kementerian melalui MGTC telah menganjurkan pelbagai program berimpak tinggi seperti International Greentech and Eco Products Exhibition and Conference Malaysia (IGEM), selain memperkukuh pelaksanaan skim pembiayaan dan insentif hijau.

“Sejajar dengan sasaran yang telah digariskan di dalam pelan startegik NRES 2024-2030, Kementerian telah melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk penganjuran IGEM, pelaksanaan Green Technology Financing Scheme (GTFS) dan Green Investment Tax Allowance (GITA) serta pengukuhan pelaksanaan Government Green Procurement (GGP).

“Bagi tahun 2024, nilai penjanaan pelaburan hijau adalah sebanyak RM7.883 bilion, meliputi sumbangan daripada inisiatif Green Investment Tax Allowance (GITA), Green Technology Financing Scheme (GTFS) 4.0 serta IGEM.

“Sumbangan ini termasuk komitmen pelaburan yang diraih menerusi siri IGEM sejak 2020 yang telah berjaya menjana lebih RM10 bilion potensi pelaburan hijau setakat ini,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab persoalan dari Ahli Parlimen Kemaman, Datuk Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyatakan pencapaian sasaran nilai penjanaan Pelaburan Hijau dan bilangan peluang Pekerjaan Hijau bagi tahun 2024 seperti yang dinyatakan di dalam Dokumen Pelan Strategik NRES 2024-2030 dan cabaran utama yang dihadapi untuk mencapai sasaran yang ditetapkan.

Mengulas lanjut kata Naib Presiden UMNO, pelaksanaan inisiatif ini telah memberi impak positif terhadap peluang pekerjaan sepanjang tahun 2024.

“Dari segi peluang pekerjaan, inisiatif ini telah menyumbang kepada penciptaan lebih daripada 2,000 peluang pekerjaan hijau pada tahun 2024,” ujarnya. – UMNO Online

Sumber: UMNO Online

Like this article?
Share on Facebook
Share on Twitter
Share on Linkdin
Share on Pinterest