
SHAH ALAM – Agrobank menyalurkan RM30 juta menerusi Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA) 2025 bagi memperkasa perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam sektor agromakanan melalui penggunaan agroteknologi.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata, program pembiayaan strategik di bawah Inisiatif Belanjawan 2025 itu bertujuan menyokong agenda keterjaminan makanan negara.
“Usaha itu dilaksanakan dengan meningkatkan kecekapan pengeluaran hasil pertanian menerusi penggunaan teknologi moden seperti Internet Benda (IoT), Kecerdasan Buatan (AI), teknologi hijau, mekanisasi, automasi serta analisis data raya.
“Melalui program ini, kami bukan sahaja menyediakan pembiayaan yang kompetitif, malah turut menyokong pembangunan kapasiti teknologi dalam kalangan usahawan komuniti tani,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Menurutnya, pembiayaan sehingga RM1 juta disediakan menerusi Pembiayaan Berjangka-i (Term Financing) dan Pembiayaan Modal Kerja-i dengan margin sehingga 100 peratus bagi menampung kos agroteknologi, infrastruktur sokongan dan modal kerja.
“Selain itu, pembiayaan ini ditawarkan dengan kadar keuntungan serendah tiga peratus setahun melalui konsep patuh syariah ‘tawarruq’.
“Keutamaan diberikan kepada syarikat Bumiputera, dengan syarat pemilikan 51 peratus rakyat Malaysia dan perniagaan berdaftar yang mematuhi garis panduan syariah serta bebas daripada sebarang tindakan undang-undang,” ujarnya.
Tambahnya, selain pembiayaan aset, PMRNA 2025 yang merupakan pembiayaan khusus ditawarkan oleh kerajaan ini turut membiayai latihan peningkatan kapasiti teknologi serta perolehan pensijilan seperti MyGAP atau MyHijau.
“Ia juga merangkumi pembiayaan bagi permit atau lesen berkaitan untuk meningkatkan standard operasi syarikat agromakanan.
“Agrobank yang berorientasikan pelanggan dengan fokus utamanya untuk mengukuhkan sektor pertanian, terus komited dalam menyokong transformasi sektor agromakanan Malaysia melalui inovasi dan pembangunan mampan,” katanya.
Sumber: Sinar Harian