Dalam The Berita

Kenal pasti peluang, cabaran, dan jurang, dan mengesyorkan penyelesaian dan tindakan untuk kemajuan masa hadapan, berdasarkan petunjuk SDG dan kemajuan terkini dalam mencapai matlamat.

Malaysia Berhasrat Teraju Peralihan Hijau Serantau Menerusi Kerjasama Kukuh

circle2
Pengerusi Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Shareen Shariza Abdul Ghani
Pengerusi Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Shareen Shariza Abdul Ghani

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) — Malaysia berhasrat memainkan peranan utama dalam usaha peralihan hijau berserantau dengan membentuk kerjasama lebih kukuh antara kerajaan, industri dan komuniti bagi membina rantau yang lebih berdaya tahan dan mengurangkan pelepasan karbon pada masa depan.

Pengerusi Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC) Shareen Shariza Abdul Ghani berkata Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS) dan Pameran dan persidangan Teknologi Hijau dan Produk Eko Antarabangsa Malaysia 2025 (IGEM2025) merupakan platform kemampanan utama negara, mencerminkan keazaman Malaysia untuk menjadikan hasrat itu sebagai satu tindakan bersama.

“"Mesej Malaysia adalah jelas. Kami berhasrat untuk berada di barisan hadapan dalam peralihan global ini, menerajui matlamat, diperkukuh oleh perkongsian, dan berasaskan tindakan," katanya dalam ucapan beliau semasa majlis pelancaran rasmi KLSS dan IGEM 2025, di sini, hari ini.

Shareen Shariza berkata Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Daya Tahan Iklim, yang diperkenalkan semasa sidang kemuncak itu, meneruskan komitmen serantau ke dalam agenda nasional Malaysia dan menghimpunkan pelbagai sektor untuk mewujudkan penyesuaian dan daya tahan iklim.

Beliau berkata langkah-langkah yang diumumkan di bawah Belanjawan 2026, termasuk 100 peratus Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) bagi syarikat yang menggunakan teknologi hijau keluaran tempatan yang diperakui di bawah tanda MyHijau merupakan antara langkah yang dijangka memacu inovasi domestik dan mengukuhkan asas perindustrian negara.

“Inisiatif ini memberi ganjaran kepada perniagaan yang memilih teknologi buatan Malaysia dan membantu membina sektor pembuatan yang lebih kukuh dan berdaya saing,” katanya.

Sejak 2010, MGTC telah membantu memudahkan RM76.8 bilion pelaburan hijau dan RM8.7 bilion pemerolehan hijau kerajaan, sambil menyokong 3,745 syarikat dalam amalan mampan dan mencipta lebih daripada 29,000 pekerjaan hijau di seluruh negara.

Beliau berkata tumpuan seterusnya MGTC adalah untuk membangunkan Ekosistem Transformasi Hijau, yang menyokong syarikat tempatan melalui latihan, khidmat nasihat, pensijilan dan akses pasaran untuk membantu mereka bersaing di peringkat global.

“Ekosistem ini bukan sahaja akan mempercepatkan usaha Malaysia ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050 tetapi juga meletakkan industri kita untuk berkembang maju di pasaran antarabangsa,” katanya. — BERNAMA

Sumber: BERNAMA

Lagi Siaran

©2025. Perbadanan Teknologi Hijau Dan Perubahan Iklim Malaysia. Hak cipta terpelihara.​ Video oleh Kelly