In The News

Identify opportunities, challenges, and gaps, and recommend solutions and actions for future progress, based on the SDG indicators and the latest progress in achieving the goals.

RUU Perubahan Iklim tonggak baharu tadbir urus alam sekitar – Johari

circle2
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani

KUALA LUMPUR – Malaysia bakal memperkenalkan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim (RUUPIN) sebagai langkah penting memperkukuh tadbir urus dan akauntabiliti dalam usaha menghadapi cabaran iklim global dalam masa terdekat.

Menurut Menteri Perladangan dan Komoditi merangkap Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani, RUUPIN akan menjadi rangka kerja menyeluruh bagi pelaporan, penyelarasan institusi serta pemantauan berterusan terhadap inisiatif kelestarian negara.

“RUUPIN akan memberikan Malaysia asas perundangan kukuh untuk mengurus risiko iklim secara konsisten dan telus.

“Ia menandakan peralihan daripada penyertaan sukarela kepada akauntabiliti,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Sidang Kemuncak Kelestarian Kuala Lumpur (KLSS 2025) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Johari berkata Malaysia kekal komited melaksanakan strategi iklim yang berasaskan fakta dan realistik, dengan mengimbangi pembangunan ekonomi serta pemeliharaan alam sekitar.

“Dalam tempoh dua dekad lalu, kita berjaya mengembangkan ekonomi sambil mengekalkan kira-kira 54 peratus tanah di bawah litupan hutan satu pencapaian yang membuktikan keseimbangan ini boleh dicapai,” ujarnya.

Beliau menegaskan, peralihan tenaga adil kini menjadi tumpuan utama kerajaan, memandangkan sektor tenaga menyumbang hampir 80 peratus pelepasan gas rumah hijau negara.

Katanya, tenaga boleh baharu kini merangkumi 31 peratus kapasiti terpasang, hasil pelaksanaan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

“Peralihan ini bukan sahaja mengenai teknologi bersih tetapi juga peluang ekonomi baharu. Ia menuntut kerjasama antara kerajaan, sektor swasta dan masyarakat,” katanya.

Menurut beliau, rantau ASEAN dianggarkan memerlukan AS$422 bilion menjelang 2030 untuk menampung keperluan pembiayaan iklim manakala Malaysia memerlukan sekitar AS$570 bilion dalam tempoh 20 tahun untuk mencapai matlamat jangka panjang.

“Kos untuk tidak bertindak jauh lebih tinggi kerana perubahan iklim sudah menjejaskan keselamatan makanan, tenaga dan kesihatan awam,” katanya lagi.

Dalam pada itu, Johari turut memaklumkan Malaysia kini telah mencapai pengurangan keamatan karbon sebanyak 37.1 peratus pada 2021, berbanding paras tahun 2005 dan berada di landasan untuk mencapai sasaran 45 peratus menjelang 2030.

Bagi memperkukuh pasaran hijau, kerajaan turut membangunkan Dasar Pasaran Karbon Nasional yang akan menjadi panduan kepada penubuhan pasaran karbon berasaskan pematuhan dan sukarela.

“Kita mahu memastikan mekanisme perdagangan karbon dilaksanakan dengan integriti alam sekitar dan sejajar piawaian antarabangsa,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan di KLSS 2025 akan diterjemahkan dalam Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Daya Tahan Iklim yang menzahirkan komitmen serantau untuk memperkukuh tindakan bersama ke arah ekonomi rendah karbon.

“Deklarasi ini akan menjadi simbol kesepakatan ASEAN menuju masa depan yang inklusif dan lestari,” katanya.

Johari menegaskan, KLSS 2025 bukan sekadar wacana tetapi platform untuk menukar idea kepada tindakan nyata, selaras dengan tema ASEAN 2025 yang menekankan inklusiviti dan kelestarian.

“Kuala Lumpur akan menjadi pusat strategi jangka panjang di mana dasar diselaraskan dan perkongsian baharu dibina,” katanya.

“Komitmen Malaysia untuk terus bekerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa dalam memperkukuh pembiayaan hijau serta mempercepatkan peralihan tenaga rendah karbon.

“Kita mesti bukan sekadar bertindak balas terhadap perubahan iklim, tetapi turut membentuk masa depan yang lebih hijau untuk rantau ini,” katanya. – MalaysiaGazette

Sumber: Malaysia Gazette

More Posts

©2025. Malaysian Green Technology And Climate Change Corporation. All rights reserved.​ Video by Kelly